Pengorbanan seorang freelancer
Menelusuri kisah-kisah di sebalik pengorbanan seorang freelancer
Syahmi Rafsanjani2 min readUpdated Dalam kita menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di kampung halaman, jangan kita lupa untuk mengambil iktibar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang berkorban demi ketaatan baginda terhadap perintah yang diturunkan.
Sama juga pengorbanan kita sebagai seorang freelancer.
Mungkin awak seorang freelancer yang baru nak mencari klien atau pun seorang freelancer yang sudah menjana ribuan sebulan.
Tapi yang paling penting, setiap dari kita sudah tentunya berkorban untuk dapatkan apa yang kita inginkan.
Di sebalik ‘kejayaan’ awak sebagai freelancer, pasti ada kisah pengorbanan yang awak tidak ceritakan kepada orang lain.
Kisah-kisah tentang pengorbanan kita sebagai seorang freelancer.
Dan saya juga tidak terkecuali.
Ada malam-malam yang saya berjaga untuk membuat kerja klien sehingga ke awal pagi demi memberikan yang terbaik kepada klien.
Ada hari-hari hujung minggu yang saya bertungkus-lumus demi memastikan web apps yang saya siapkan adalah di tahap yang terbaik sebelum klien gunakan.
Ada juga bulan-bulan yang klien bayar lambat dan terpaksa keluarkan duit dari tabung simpanan untuk teruskan kehidupan.
Dan mungkin jalan pengorbanan yang awak lalui berbeza macam apa yang saya lalui.
Tapi saya percaya setiap pengorbanan akan dibayar dengan ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita korbankan.
Semua pengorbanan awak sebagai seorang freelancer ialah pengorbanan yang awak buat demi keluarga awak dan juga demi impian yang awak ada.
Tak kisahlah apa impian awak sebagai seorang freelancer.
Ada yang freelance sebab nak buat side income sahaja dan ada juga yang mahukan hidup gaya sendiri sebagai seorang full-time freelancer.
Tapi saya yakin yang lagi pahit perjalanan awak, lagi manis kejayaan yang akan awak rasakan nanti.
Kerana hidup kita ini dipenuhi dengan ‘trade-off’.
Kalau awak mahukan sesuatu itu, awak kena korbankan sesuatu yang lain.
Sebagai seorang freelancer, salah satu aset yang awak ada ialah masa dan tenaga.
Lebih banyak awak korbankan masa dan tenaga, lagi banyak ganjaran yang awak akan perolehi.
Tapi jangan lupa untuk luangkan masa untuk yang tersayang dan jaga kesihatan kita.
Dan bak kata orang, bukan senang nak jadi senang.
Tapi perjalanan ini lebih seronok apabila ada komuniti untuk saya dan awak terus maju di atas jalan freelancer ini.
Tak rasa sunyi sangat macam saya awal-awal freelance dulu.
Ada yang DM saya mengenai masalah mereka dan kebetulan saya pernah lalui masalah yang sama juga.
Seronok sebab boleh berkongsi dan belajar dari satu sama yang lain.
Dan boleh kenal-kenal freelancer yang lain untuk kembangkan network kita dan beri lebih nilai kepada klien.
Jadi, jangan putus asa dan sama-sama kita terus maju sebagai freelancers!